Telaga Kautsar

Al Kautsar ni adalah sebuah telaga di syurga yang diberi oleh Allah kepada Nabi SAW. 

Rasulullah S.A.W bersabda: “Sesungguhnya setiap Nabi mempunyai al-haudh (telaga) dan mereka saling berbangga diri, siapa di antara mereka yang paling banyak peminumnya (pengikutnya). Dan sungguh aku berharap, akulah yang paling banyak pengikutnya.” (HR at-Tirmidzi dalam Sunan at-Tirmidzi, no. 2443)

Dirakamkan dalam sebuah hadis, Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu menceritakan, “Pada suatu hari, ketika Rasulullah S.A.W berada di tengah-tengah kami, tiba-tiba baginda mengantuk sekejap. Kemudian baginda mengangkat kepala sambil tersenyum. Maka kami pun bertanya, “Apa yang membuat Tuan tersenyum, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab, “Baru saja diturunkan kepadaku sebuah surah.” Lalu Baginda membacanya yang bermaksud:

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang: “Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu al-Kautsar. Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu dialah yang terputus (dari rahmat Allah).” (Al-Kautsar: 1-3).

Kemudian Rasulullah S.A.W berkata: “Apakah kalian tahu apakah Al-Kautsar itu?” Kami (para sahabat) menjawab, “Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui.” Rasulullah S.A.W bersabda: “Sesungguhnya Al-Kautsar adalah sungai yang dijanjikan oleh Rabb-ku ‘Azza wa Jalla untukku. Di sana, terdapat kebaikan yang banyak. Ia adalah (sumber air) telaga yang akan didatangi umatku pada hari Kiamat. Jumlah gayungnya sebanyak bintang-bintang.” (HR Muslim, no. 400).

Telaga Rasulullah S.A.W atau dikenali sebagai Telaga Al-Kautsar begitu besar nikmatnya, sesiapa yang minum air telaga ini makan tidak akan merasa dahaga buat selama-lamanya, seperti sabda Rasulullah S.A.W.

“Telagaku (panjang dan lebarnya) satu bulan perjalanan. Airnya lebih putih daripada susu, baunya lebih harum daripada kasturi, cawannya sebanyak bintang di langit. Sesiapa yang minum darinya, dia tidak akan haus untuk selamanya.” (HR Bukhari, no. 6093 dan Muslim, no. 4294).

Orang-orang yang beriman kepada Rasulullah S.A.W dan selalu mengikut petunjuk yang baginda sampaikan dengan izin Allah dapat meminum air dari telaga ini.

Namun, bagi mereka sewaktu di dunia berpaling dari petunjuk dan sunnah Rasulullah S.A.W kepada pemahaman dan perbuatan bid’ah, di akhirat kelak mereka akan dihalang dari meminum air telaga Rasulullah S.A.W ini, sebagai balasan yang sesuai dengan perbuatan mereka.

Rasulullah S.A.W bersabda: “Aku adalah pendahulu kalian menuju telaga. Siapa saja yang melewatinya, pasti akan meminumnya. Dan sesiapa meminumnya, nescaya tidak akan haus selamanya. Nanti akan datang beberapa orang yang aku mengenali mereka dan mereka mengenaliku, namun mereka terhalang dari menemui diriku.” (HR Bukhari, no. 6528 dan Muslim, no. 4243)

Dalam satu hadis lain, Rasulullah S.A.W bersabda: “Aku berkata: “Mereka termasuk umatku!” Namun muncul jawaban: “Engkau tidak mengetahui perkara yang mereka ada-adakan selepas sepeninggalmu.” Aku pun berkata: “Pergi dari sini, Pergi dari sini, bagi orang yang mengubah (ajaran agama) setelahku.” (HR Bukhari, no. 6097)

Rasulullah S.A.W bersabda: “Sesungguhnya selepasku nanti akan ada para pemimpin yang melakukan kezaliman dan penipuan. Sesiapa pergi kepada mereka lalu membenarkan penipuan mereka dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan dapat mendatangi telagaku. Sesiapa yang tidak membenarkan pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku dan aku dari kalangannya dan dia akan dapat mendatangi telagaku”. (HR Ahmad, Nasai dan Tirmidzi)

Bagi mereka yang melakukan perbuatan bid’ah yang tidak diredhai Allah dalam agama ini, juga akan diusir dari telaga Rasululah S.A.W pada hari kiamat nanti.

“Al Kautsar adalah sungai yang dijanjikan oleh Rabbku ‘azza wa jalla. Sungai tersebut mempunyai kebaikan yang banyak. Ia adalah telaga yang nanti akan didatangi oleh umatku pada hari kiamat nanti. Gelas di telaga tersebut sejumlah bintang di langit. Namun ada dari sebagaian hamba yang tidak boleh minum dari telaga tersebut. Allah berfirman: Tidakkah engkau tahu bahawa mereka telah berbuat bid’ah sesudahmu. “(HR. Muslim no. 400).


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Samiyat

Neraca Mizan & Titian Sirat

Solat Sunat Rawatib